Cara Kira Kelayakan Pinjaman Perumahan – Bahagian 1

Kongsikan Pada Rakan:

Kebanyakkan pembeli rumah membuat pembiayaan (pinjaman) dari institusi kewangan. Ini termasuk daripada bank atau agensi kewangan. Jadi, penting untuk mengetahui cara kira kelayakan pinjaman perumahan sebelum berhasrat membeli rumah.

Dalam bahagian 1 ini, saya akan berkongsi pengiraan untuk pinjaman melalui penilaian DSR (Debt Service Ratio).

DSR dalam bahasa mudahnya adalah penanda aras tahap kelayakan membuat pinjaman dan juga kemampuan membayar hutang yang ada. Juga boleh kita faham adalah peratusan hutang berbanding gaji bersih.

Tidak kira anda membeli rumah pertama, baru atau subsale, DSR sangat penting untuk menilai anda. DSR juga boleh digunakan untuk membuat pinjaman selain dari tujuan membeli rumah.

kira-loan-rumah

Tips mudah: Semakin rendah DSR, bermaksud lebih rendah komitmen bulanan dan lebih cerah peluang untuk berjaya membuat pinjaman perumahan seterusnya.

Kadar DSR adalah berbeza mengikut bank. DSR juga bergantung kepada gaji. Semakin rendah gaji, semakin tinggi DSR ditetapkan kerana lebihan wang menjadi semakin sikit.

Namun secara amnya (purata), kadar DSR bank seperti berikut:

  • Pendapatan bersih di bawah RM3,000, had DSR bank 60%
  • Pendapatan bersih di bawah RM6,000, had DSR 70%
  • Pendapatan bersih di bawah RM10,000, had DSR 75%

Formula DSR diukur dalam peratus, iaitu, jumlahkan komitmen bulanan dan ansuran rumah baru, kemudian bahagikan dengan gaji bersih. Kemudian darab 100% untuk mendapat peratus.

DSR (%) = (Komitmen Bulanan + Ansuran Rumah Baru) / Gaji Bersih x 100%

Komitmen bulanan yang dikira oleh bank biasanya yang melibatkan terjadinya rekod CCRIS seperti:

  • Pinjaman kereta
  • Pinjaman peribadi
  • Pinjaman rumah
  • Pinjaman ASB
  • Pinjaman Kedai/Syarikat seperti AEON
  • Kad kredit
  • PTPTN

Tips untuk jumlahkan komitmen:

  1. Kad kredit tidak dijumlah semua tunggakan tetapi hanya dikira 5% sahaja. Contoh tunggakan RM2,000, hanya kirakan RM100 (RM2,000 x 5%).
  2. ASB hanya dikira jika belum cukup 1 tahun pembayaran. Jika lebih setahun sudah tidak dikira komitmen.
  3. Hutang kedai juga perlu dikira. Contohnya jika buat loan kedai beli motosikal, perabot dan sebagainya.

Ansuran Rumah Baru

Dikira secara kasar adalah dengan membahagi jumlah pinjaman dengan 200. Contohnya, harga rumah RM300,000, pinjaman 90%. Jumlah hutang RM270,000. Bahagikan dengan 200, anda akan dapati jumlah bayaran bulan RM1,350 (RM270,000 / 200).

Jumlah Pinjaman / 200 = Ansuran Bulanan

Ini pengiraan kasar jika pinjaman 35 tahun. Jika kurang dari 30 tahun, anda boleh guna aplikasi kalkulator seperti Karl’s Mortgage Calculator.

Pendapatan Bersih

Jumlah pendapatan yang diterima setelah ditolak dengan PERKESO (SOCSO), Zakat, KWSP dan Cukai.

Pendapatan bersih boleh juga dikira jika mempunyai hasil dari rumah sewa, dengan syarat mempunyai Perjanjian Sewaan dengan penyewa. Jika anda bekerja sambilan tak tetap, perlu puratakan gaji lebih masa kepada 6 bulan.

Namun, ada bank tidak mengira secara keseluruhan pendapatan sewaan dan lebih masa ini. Bergantung pada bank dalam anggaran 50% ke 80% sahaja.

Pendapatan dari pelaburan seperti dividen amanah saham atau Tabung Haji juga boleh dikira. Puratakan 12 bulan. Namun, untuk pelaburan ini perlu matang selepas 1 tahun.

kira-loan-rumah

Contoh Pengiraan DSR 1

Nama: Kamal
Pekerjaan: Eksekutif Teknologi Maklumat
Status: Berkahwin seorang, anak seorang
Rumah ingin Dibeli: Harga RM450,000 (rumah subsale)
Deposit: Bayar RM45,000 (10%)
Pinjaman Bank: 90% untuk 35 tahun
Jumlah Pinjaman Bank: RM405,000
Ansuran Bulanan (Kasar): RM2,025

Gaji Bersih: RM3,500 (selepas tolak KWSP, SOCSO, Zakat & Cukai)

Komitmen Bulanan:
Kereta: RM400
Pinjaman Peribadi: RM200
Kad Kredit: Tungakkan RM5000 (Dikira 5% sahaja iaitu RM250)
Sewa Rumah: RM550 (tidak dikira untuk pengiraan DSR)

DSR = (RM400 + RM200 + RM250 + RM2,025) / RM3,500 x 100%
DSR =  82%

Kamal tidak layak membuat pinjaman kerana DSR di atas 70% yang ditetapkan bank. Permohonan biasanya akan ditolak.

Contoh Pengiraan DSR 2

Nama: Aliza
Pekerjaan: Pegawai Pemasaran
Status: Berkahwin, anak dua seorang
Rumah ingin Dibeli: Harga RM400,000 (rumah subsale)
Deposit: Bayar RM40,000 (10%)
Pinjaman Bank: 90% untuk 35 tahun
Jumlah Pinjaman Bank: RM360,000
Ansuran Bulanan (Kasar): RM1,800

Gaji Bersih: RM5,500 (selepas tolak KWSP, SOCSO, Zakat & Cukai)

Komitmen Bulanan:
Kereta: RM500
Pinjaman Peribadi: RM300
Kad Kredit: Tungakkan RM6000 (Dikira 5% sahaja iaitu RM300)
Loan Kedai: RM200 (beli perabot)

DSR = (RM500 + RM300 + RM300 + RM200 + RM1,800) / RM5,500 x 100%
DSR =  56%

Aliza layak membuat pinjaman kerana DSR di bawah 70% yang ditetapkan bank. Permohonan biasanya akan diterima.

Tips Cara Tingkatkan Kadar DSR

  1. Gabung pinjaman dengan pasangan. DSR akan berada di bawah paras maksimum ditetapkan
  2. Buat kerja sampingan tetapi perlu penyata membuktikan pendapatan tersebut
  3. Kurangkan komitmen bulanan. Habiskan satu-satu hutang. Fikir panjang sebab kita nak beli rumah yang perlukan banyak duit.

Rekod pinjaman di CCRIS juga menentukan anda layak atau tidak. Biasanya jika lewat bayar 2 bulan ke atas, bank agak sukar mempertimbangkan permohonan anda. Pastikan bayar pada masa, biar rekod CCRIS nampak kosong.

Selain DSR, bank juga melihat kepada Net Disposal Income (DSI) atau bahasa mudahnya kos sara hidup selepas ditolak semua komitmen. Saya akan kongsikan di bahagian kedua nanti.

Saya juga boleh bantu anda kira DSR secara percuma. Cuma perlu isi maklumat ringkas sahaja. Klik Semak Kelayakan Pinjaman.

ZAINI
Perunding Hartanah Berdaftar
018-2122510

Kongsikan Pada Rakan:

3 Responses so far.

  1. […] Bersambung lagi dengan artikel cara kira kelayakan pinjaman perumahan. Post kali ini sambungan daripada Bahagian 1 berkaitan DSR. […]

  2. […] Selepas bayar deposit, kita akan buat pinjaman (loan) rumah. Tanya REN jika loan tak lepas, adakah deposit akan dipulangkan. Biasanya, deposit anda akan […]

  3. […] Paling mudah dengan mengira Nisbah Hutang atau Debt Service Ratio (DSR). Anda boleh baca pengiraan lengkap DSR di sini. […]

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *